Thursday, May 14, 2009

DIDIK ANAK DENGAN IMAN DAN ISLAM

Nafsu tidak pernah mendidik manusia menjadi manusia tetapi didikan nafsu inilah yang sering digunakan.

Pernahkah kita terlalu marah pada anak-anak hingga tanpa kita sedari tangan kita mencapai hanger atau rotan lalu kita memukul mereka dengan penuh rasa benci. Mungkin mereka bersalah dan mungkin juga hukuman rotan itu berpadanan dengan kesalahan yang mereka lakukan tetapi persoalannya adakah kita sedang mendidik mereka atau kita sedang hilang kawalan diri. Bagaimana seorang yang hilang kawalan diri sedang mendidik anaknya untuk mengawal diri dari melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Bukankah ada pepatah Arab yang bermaksud ; Orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan dapat memberikan sesuatu".

Mungkin itu gambaran seorang ayah. Bagi ibu pula mungkin sudah menjadi kebiasaan meleteri anak-anak hingga siibu sendiri tidak tahu apa yang dia cakapkan dan sudah berapa kali di mengulangi point-point yang sama. Adakah ketika itu kita sedang mendidik atau kita sedang hilang kawalan diri. Apakah bezanya kesan rotan tadi dan leteran seorang ibu, adakah semua ini salah satu bentuk didikan atau kita sedang merosakkan fitrah anak-anak yang masih bersih.

Saya selalu berpesan kepada isteri saya supaya berilah kemaafan pada anak-anak supaya mereka belajar erti kemaafan dan belajar pula untuk memberi kemaafan, berbaik sangkalah terhadap mereka supaya mereka juga berbaik sangka terhadap kita dan janganlah kita menuduh tanpa bukti yang nyata supaya mereka tidak membesar sebagai manusia yang cepat memandang negatif terhadap orang lain dan ego dengan diri sendiri. Bukankah ibu itu ratu suci pada pandangan anak-anak dan bukankah kita sebagai bapa merupakan guru dan contoh ikutan kepada mereka.

Mungkin kadang-kadang anak-anak kita melakukan kesilapan yang berat atau kesilapan yang ringan tetapi berulang-ulang. Dan adakalanya rotan dan marah itu adalah hukuman yang setimpal bagi kesalahan yang mereka lakukan, jadi rotanlah atau marahlah dengan tujuan mendidik mereka. Pastikan disaat kita merotan mereka, di dalam hati kita ialah rasa kasih kepada mereka dan kita secara sedar sedang mendidik mereka. Islam memberi panduan yang cukup halus daam persoalan ini. Sekiranya kita ingin merotan anak kita, bawalah mereka kedalam bilik supaya tidak dilihat oleh saudaranya yang lain. Mereka juga mempunyai maruah dan harga diri jadi ra'ilah sifat kemanusiaan ini supaya sifat kemanusiaan ini terus subur dan mengeluarkan buahnya di suatu hari nanti. Ambillah wudhu supaya kita tidak dikuasai oleh nafsu. Terangkan kesalahan yang telah dilakukannya dan beri penjelasan kenapa kita membuat keputusan untuk merotannya. Dengan penuh kasih sayang kita meminta maaf daripadanya kerana terpaksa merotannya demi kebaikannya sambil kita luahkan harapan agar dia tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Bayangkan perasaan anak kita apabila dia dirotan dengan cara begini dan banding pula bagaimana perasaannya apabila tiba-tiba dia dirotan atau dileteri dalam keadaan dia sendiri tidak pasti yang dia telah melakukan satu kesalahan dan diapun tidak faham kenapa dia dirotan. Perlu kita sedar bahawa neraca kita berbeza mengikut tahap umur dan ilmu, mungkin bagi kita orang dewasa yang melihat jauh kedepan, ada perkara yang kita pandang sebagai besar dan penting tetapi bagi kanak-kanak yang masih mentah merasakan ianya perkara remeh.

Saya juga selalu berpesan kepada isteri saya supaya sentiasa pastikan semasa kita sedang memarahi anak, jiwa kita tidak dikuasai oleh perasaan benci atau meluat pada anak-anak. Pastikan jiwa kita penuh dengan rasa kasih. Pastikan juga fokus kita semasa memarahi mereka adalah untuk menyedarkan kesalahan mereka dan implikasi dari kesalahan mereka dan sentiasa hubungkan hati mereka dengan Allah SWT.

Seperkara lagi, jadikan kemuncak kemarahan kita dengan mengingatkan mereka dengan ancaman Allah SWT. Pernah suatu ketika beberapa orang pengawas di salah sebuah sekolah tempat saya pernah mengajar memanggil seorang pelajar yang terlibat dengan salahlaku. Pengawas-pengawas itu yang juga mendapat maklumat bahawa pelajar tersebut terlibat dengan kumpulan samseng di luar sekolah terus memarahi dan mencabar bahawa mereka sedikitpun tidak takut dengan kumpulan samseng yang menjadi kawan-kawannya. Akibatnya hampir-hampir terjadi suatu pergaduhan anatara pengawas dan kumpulan samseng tersebut. Ketika waktu yang berbeza saya panggilkan pelajar tersebut. Pada mulanya dia datang dengan penuh kesombongan. Dia cuba tunjukkan sikap keras kepala dan kedegilannya dan tidak merasakan dirinya bersalah. Lalu saya katakan padanya "Adakah kamu rasa kamu akan hidup selama-lamanya, adakah kamu rasa kamu tidak akan mati dan balik mengadap Allah SWT, adakah kamu rasa kamu akan sanggup menanggung seksa Allah SWT di Akhirat nanti?" Pelajar tadi lalu tertunduk dengan wajah penyesalan.

Saidina Ali: "Bermain-mainlah dengan anakmu sehingga dia mencapai tujuh tahun. Kemudian disiplinkan mereka selama tujuh tahun, kemudian berkawan selama tujuh tahun dan selepas itu anggaplah mereka sebagai seorang dewasa."

Bila dikoreksi semula semuanya bermula dari diri ibu bapa itu sendiri (individu muslim) yang jelas matlamat kehidupan tujuan perkahwinan. Bilamana semuanya berpaksikan iman dan keredhaan Allah..natijahnya pasti berbuah yang indah. Walaupun ada ujian dan rintangan di sepanjang bahtera kasih..

No comments:

Post a Comment