Tuesday, May 12, 2009

DEMI CINTA

Saya biasa terdengar atau terbaca, dan mungkin kebanyakan dari kita juga biasa terdengar dan terbaca tentang penderaan mental mahupun fizikal yang dialami oleh seseorang yang dilakukan olah orang yang mereka sayangi. Sama ada mereka yang sudah terikat secara sah mengikut syarak iaitu ikatan perkahwinan, mahupun mereka yang masih lagi dalam alam percintaan. Ceritanya tidak jauh berbeza. Kisah isteri yang dipukul oleh suami, kisah isteri yang suaminya curang. Atau sebaliknya kisah suami yang disiksa oleh isteri atau suami yang queen controlled.

Sebenarnya, kisah sebegini sememangnya menyayat hati dan sememangnya wajar kita bersimpati terhadap mereka. Dan tidak salah untuk kita membantu sama ada dari segi kewangan, perundangan mahupun dari segi pemberian kaunseling dan nasihat. Dan percaya atau tidak, selalunya nasihat yang sering kita dengar adalah untuk mereka yang disiksa itu meninggalkan pasangannya. Sama ada sang suami menceraikan isterinya mahupun sang isteri memohon fasakh dari pejabat khadhi. Tetapi pada keselaluannya juga, mereka ini jarang mahu berpisah dengan pasangan mereka. Iyalah. Kerana enggan berpisahlah mereka cuba mendapatkan nasihat… Tetapi kalau ditanya sebabnya mengapa, kebanyakan akan berkata "saya masih sayang kepadanya". Rasanya ini telah menjadi alasan yang lazim bagi pasangan-pasangan yang bermasalah sebegini.

Sayang? Pelik juga, bukan? Setelah disiksa, dicurangi malah kadang kala dihina, namun masih tetap mahu bersama demi semata-mata perasaan kasih, sayang dan cinta yang menebal di dalam dada. Sebenarnya, saya tidak mahu memperlekehkan rasa kasih antara mereka. Saya juga punyai isteri, punyai anak. Saya faham apa itu erti kasih sayang. Cuma yang saya ingin umpilkan di sini, berapakah sebenarnya harga kasih kita kepada pasangan kita. Bolehkah kasih sayang diukur secara fizikal? Pasti ramai yang menyebutnya tidak boleh. Iyalah… Jika sanggup disiksa demi cinta, tentu tinggi harga cinta tersebut. Tetapi itu perasaan cinta dan kasih sayang sesama manusia. Bagaimana pula dengan perasaan cinta dan kasih sayang kita terhadap Allah? Apakah tidak ternilai harganya? Apakah sama atau apakah lebih kasih kita terhadap Allah berbanding rasa kasih kita terhadap pasangan kita? Untuk soalan itu, saya rasakan jawapannya tidak. Rasanya cinta kita terhadap Allah jauh lebih rendah dan jauh lebih murah harganya.

Saya tanyakan kepada diri saya sendiri. Seandainya hari ini anak saya jatuh sakit. Dan demi mendapatkan ubat untuk merawatnya penyakitnya, saya perlu meredah hutan belantara, mendaki tujuh gunung dan merentasi tujuh lautan. Apakah saya akan sanggup? Jawapan saya, insyaAllah, saya akan sanggup. Jika benar ubatan itu mampu menyembuhkan anak saya, lautan api pun akan saya usahakan untuk merenanginya. Tetapi untuk Allah, berapa sangatkah pengorbanan yang boleh saya lakukan? Contohnya hari ini, ketika azan dilaungkan, saya sedang sibuk menyiapkan tugasan saya. Apakah sebaik mendengar azan saya akan tinggalkan tugas saya dan segera menyambut laungan muazzin? Rasanya tidak. Paling hebat, saya akan gunakan alasan Allah memahami keadaan saya. Saya rela korbankan kepentingan solat di awal waktu demi tugasan duniawi saya. Apakah dalam keadaan itu boleh saya katakan cinta saya kepada Allah tinggi dan tidak ternilai harganya? Itu baru soal menyambut laungan azan. Belum lagi soal meninggalkan keluarga untuk berpergian ke jalan Allah (fisabilillah). Dan menyebut tentang berpergian ke jalan Allah ini, saya segera teringat kepada Jemaah Tabligh. Kerana perbuatan ini sering dikaitkan dengan gerakan mereka. Mereka ini sanggup mengorbankan kepentingan dunia demi untuk menegakkan agama Allah. Tetapi apa pandangan masyarakat terhadap mereka? Masyarakat menghina! Malah golongan ini dianggap lebih jijik daripada golongan penzina, pemimum arak dan pencuri duit rakyat sehinggakan dilarang memasuki segelintir masjid sedangkan tokoh korporat yang terkenal dengan kemunafikannya disambut meriah ketika 'melawat' ke masjid tersebut. Beginikah caranya kita menyatakan rasa cinta kepada Allah? Sudahlah kita enggan berbuat seperti mereka, bahkan kita hina pula mereka. Sedangkan perbuatan berpergian seperti mereka ini telah dilakukan oleh para sohabat Nabi Muhammad saw. Sebagaimana ada jemaah dari negara China yang menyatakan makam Abi Waqas ada terdapat di sana yang letaknya ribuan batu dari tempat asalnya. Apakah beliau juga seorang yang hina?

Ternyata cinta kita kepada Allah begitu murah dan begitu rendah. Kita dengan mudah selalu mengenepikan perintah Allah demi melaksanakan tugas-tugas duniawi. Hukum-hukum Allah kita letakkan di bawah telapak kaki kita dengan alasan negara kita ini bermasyarakat majmuk. Kita takut mengguris hati orang-orang kafir tetapi kita tidak pernah kisah mengguris hati Allah. Cintakah itu namanya? Sedangkan cinta Allah kepada kita jauh lebih tinggi dan jauh lebih mahal harganya. Allah menciptakan dunia ini bukan untuk Dia tinggal di dalamnya. Dan Allah ciptakan syurga bukan untuk keselesaanNya sendiri. Tetapi untuk kita! Walaupun Allah telah tahu bahawa kita akan membelakangkanNnya dan akan memusnahkan dunia ini termasuk diri kita sendiri, namun Allah tetap teruskan kerana Dia mahu memberikan balasan syurga bagi yang patuh. Tidak cukup dengan itu, diutuskan pula para Mursalin dan Ambiyak untuk mengingatkan mereka yang kufur. Namun apa balasan kita atas kecintaan Allah terhadap kita? Penderhakaan demi penderhakaan. Pengkhianatan demi pengkhianatan. Dan kekufuran demi kekufuran! Dan setelah semua itu, dengan mudah kita melafazkan Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengampun.

'Mulia' sungguh cinta kita kepadaNya… Jika sebenarnya kita sanggup menderita kerana orang yang kita cintai, mengapakah sukar sangat untuk kita bersusahan sedikit demi kerana Allah? Sedangkan penderitaan yang dialami akibat pasangan kita tidak tahu di mana akhirnya dan apa kesudahannya tetapi kesusahan yang kita alami demi untuk Allah sudah pasti akan berakhir dengan kenikmatan yang tiada terperi di syurgaNya kelak.

Marilah kita bersama bermohon kepada Allah supaya kita dianugerahkanNya perasaan cinta dan kasih yang tiada batasnya terhadap Dia, RasulNya dan agamaNya. Marilah kita berdoa agar dijadikan insan yang tahu menghargai erti kasih sayang yang dicurahkanNya dan bersedia untuk berkorban segalanya demi untuk Dia. Semoga hati ini rela menderita dan tersiksa pada jalanNya. Demi cinta kepadaNya…

No comments:

Post a Comment